KOMA oleh thefnlini - Ulasan
| Percuma Penanda buku dan Poskad |
Saya mengikuti penulisan KOMA dari era Wattpad sejak beberapa tahun lalu dan cukup tertarik dengan cerita yang segar dan dystopia yang tersendiri. Saya kurang pasti sama ada thefnlini sedar atau tidak bahawa semua premis yang terjadi didalam novel beliau benar-benar wujud didalam dunia nyata dan beberapa adegan didalam novel cukup membuatkan penulis sedih. Khabarnya ini adalah penulisan pertama thefnlini yang asalnya bermula daripada cerpen sebelum berkembang kepada sebuah novel. Tahniah!
Novel ini mengisahkan seorang remaja lepasan SPM, Ayman yang berada di realiti yang berbeza selepas dia ni mengalami kemalangan kemudiannya menyedari realiti yang berlaku cukup menakutkan apabila Islam telah mati, sesuatu yang Ayman tak boleh cerna bila dihidangkan arak, pergaulan bebas macam tiada larangan. Bukan kerana umatnya tidak ada tetapi disebabkan penindasan rejim yang memaksa umat Islam berdiam, ini skrip yang menakutkan tetapi skrip yang wujud di dunia sebenar. Hampir kesemua pemerintahan kuku besi melarang unsur yang boleh membebaskan masyarakat daripada kawalan mereka.
Ayman ini masih muda dan tidak membiarkan keadaan disitu sebegitu saja dan kemudiannya mencuba menghidupkan dakwah dengan mengajak rakan-rakannya sekali. Dalam keadaan masyarakat tersebut, cukup sukar dan memandangkan elemen Islam adalah sesuatu yang dilarang di Merizia maka Ayman bersama rakan-rakannya sudah membawa elemen yang dianggap berbahaya atau mungkin label ‘musuh negara’ ataupun ‘pengkhianat’, yang secara logiknya kerana meruntuhkan kuasa yang dimiliki pemerintahan kuku besi Merizia. Apa yang Ayman dakwah? Tunduk kepada Pencipta. Kenapa pemerintahan Merizia melarang aktiviti sebegini? Kerana Merizia bimbang seandainya rakyatnya menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang diperhambakan oleh manusia yang cuba menjadi Tuhan. Berita tentang kebebasan menakutkan pemerintahan Merizia.
Menariknya, Ayman bermula dengan mengedarkan risalah-risalah yang menyebabkan mereka dipandang aneh oleh masyarakat Merizia. Mungkin pemerintah Merizia menghanyutkan dengan hiburan,arak, budaya bebas agar didalam hati mereka tak terfikir pun kezaliman.
Daripada pengkhianatan akibat janji palsu hinggalah tindakan sekumpulan remaja ini membawa 80% rakyat Merizia yang hidup dalam ketakutan keluar daripada ketakutan itu sekaligus mengadakan pemberontakan, ini sebuah revolusi. Dan elemen fizik spekulatif yang menarik disebutkan didalam ini selain tanda tanya tentang dimensi dihujung novel. Inilah novel yang segar!
Sangat banyak elemen yang menarik, misalnya pergerakan dakwah yang dibawa Ayman menentang ideologi yang digunakan pemerintah Merizia untuk kekal berkuasa, dan ini mengancam kedudukan dan kuasa mereka. Mereka meletakkan Allah SWT sebagai paling tinggi yang menjadikan penyeksaan, ketakutan kepada manusia hanyalah biasa, kerana mereka sudah ‘bebas’ daripada penghambaan makhluk dan inilah yang paling berbahaya bagi semua rejim berkuasa didunia. Tidak ada apa yang mampu menghentikan mereka.
Kemudiannya pengkhianatan rakan Ayman kerana terpedaya dengan janji pemerintah Merizia. Yang kemudiannya rakan yang lain menyedarkan dusta yang dia percaya tetapi mengorbankan banyak perkara demi sebuah dusta. Ada adegan yang cukup powerful iaitu ketika Luth menyedari dia dah terpedaya dengan dunia yang penuh penipuan bahawa adiknya boleh dihidupkan namun Luth telah terpedaya bahawa dunia ini kekal.
Dan kebangkitan rakyat Merizia ini adalah sesuatu menarik apabila mereka diinspirasikan sekumpulan remaja, mereka juga berjaya dibebaskan daripada ketakutan terhadap manusia yang bersembunyi dibelakang tentera dan menggunakan kuku besi untuk menutup suara-suara melawan yang kemudiannya membawa kepada Perang Mujahidin yang membungkam umat Islam sebelum dibebaskan dan melawan diktaktor. Dalam kehidupan seharian kita, kita kena menegur apa yang salah dalam negara walaupun pahit.
Dunia dimana maksiat bermaharajalela dan kemungkinan yang cukup menakutkan didalam novel ini membawa mesej ketika mana umat Islam berdiam diri maka kesannya cukup menakutkan. Secara logiknya setiap tindakan membawa kepada akibat, ini wujud dalam semua perkara hatta kehidupan seharian bahkan elektronik, fizik ataupun kejuruteraan menerusi sistem dinamik.
Kesimpulannya, novel ini membawakan persoalan yang menarik. Seandainya dunia kejam dan tetapi dimana suara yang menentang kezaliman? Adakah kita akan membiarkan kezaliman yang berlaku? Sekecil tindakan juga adalah dakwah!